Tuesday, June 17, 2014

Balingian Dulu Kini dan Masa Hadapan?




BALINGIAN merupakan sebuah daerah kecil dalam Bahagian Mukah yang sudah diketahui umum pada masa ini masih agak ketinggalan dari segi pembangunan kemudahan prasarana  dan sosio ekonomi meskipun telah beberapa perancangan telah diusahakan oleh pihak kerajaan khas parti Barisan Nasional (BN). Pembangunan yang dimaksudkan termasuklah pembukaan beribu hektar ladang-ladang kelapa sawit, Kilang Press Metal dan Mukah Power Generator berdekatan kawasan persimpangan Meteding. Memang tidak dinafikan peluang pekerjaan diberi keutamaan kepada pekerja tempatan tetapi yang agak ketara kebanyakan mereka yang berasal dari perkampungan sekitar pekan Balingaian adalah bekerja sebagai buruh dan penyelia. Jika dikira hasil pendapatan bulanan cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga kehujung bulan. Cukup bulan habis gaji. Bak kata bidalan rezeki secupak tak akan jadi segantang.


Kebanyakan penduduk tempatan yang tidak tahan dengan desakan ekonomi terpaksa berpindah ke bandar besar seperti Bintulu, Sibu, Miri dan Kuching untuk meneruskan kehidupan keluarga yang semakin bertambah walaupun terpaksa menanggung kos sarahidup yang juga semakin meningkat. Manakala bagi pelajar tempatan yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti di institusi pengajian tinggi tempatan, kebanyakan golongan ini nanti akan terus bekerja dan menetap di Bandar-bandar besar. Senario balik kampung hanya akan dilihat apabila tiba musim perayaan seperti Hari Raya, Hari Krismas mahupun menyambut Hari Gawai. Selebih dari masa itu pekan Balingian akan kembali sunyi seperti sedia kala. Sehingga ke hari ini tiada pembangunan fizikal yang betul boleh dibanggakan untuk merubah sosio ekonomi tempatan cuma sebatang jalanraya Balingian-Mukah yang dibina dan ditambahbaik oleh kerajaan untuk menghubungkan pekan balingian dengan dunia luar. 

Dengan itu tidak menghairankan apabila melihat deretan kedai baru yang dibina hampir 20 tahun yang lampau masih belum beroperasi sepenuhnya kerana kurangnya kuasa daya membeli oleh penduduk tempatan. Dengan sumber pendapatan yang agak terhad yang dimiliki oleh penduduk tempatan telah melumpuhkan pertumbuhan ekonomi dalaman secara total dan matlamat asal  kerajaan untuk membangun ekonomi tempatan khasnya di pekan Balingian semakin jauh tersasar dari perancangan asal. Penduduk tempatan mahupun orang luar yang bekerja di sekitar pekan Balingan lebih gemar pergi membeli-belah ke bandar Mukah kerana mempunyai pilihan yang lebih baik dan banyak sambil melepaskan rasa tekanan dari suasana kemunduran prasarana dan kemudahan yang disediakan. Cuma penduduk pekan Balingian yang setia saja masih megah dengan pasar kayu yang telah dimakan usia dan menyimpan pelbagai nostalgia silam.  Tidak hairanlah bila mendengar pekan Balingian masih terkenal dengan jolokan ‘Pekan Koboi’ hingga ke hari ini. 


No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana mengikuti blog ini.
Thank you for following this blog.